Tentang Kami
Pusat Pelancongan & Rekreasi Air Panas Gadek terletak di Alor Gajah, Melaka, 25 kilometer dari pusat bandar Melaka melalui jalan utama Melaka Tampin. Gadek Hotspring Wellness Resort & Spa atau lebih dikenali sebagai Kompleks Air Panas Gadek sudah mula beroperasi pada 16 Disember 2024 yang lepas dengan kekuatan seramai 30 orang kakitangan dibahagian operasi dan pentadbiran.
Sejarah kewujudan kolam air ini dikatakan mula diketahui penduduk setempat apabila mereka melihat ramai pegawai dan tentera British menetap di kawasan berhampiran kolam. Keadaan ini membuatkan penduduk kampung tertanya-tanya apakah keistimewaannya apatah lagi setelah mereka terdengar khabar angin bahawa air kolam ini digunakan oleh tentera British bagi merawat penyakit. Selepas Tanah Melayu bebas daripada penjajahan, penduduk kampung akhirnya mengetahui bahawa kawasan tersebut mempunyai khazanah alam semula jadi iaitu sumber air panas yang asli dari dalam tanah.
Air Panas Gadek dikatakan berkhasiat secara saintifik kerana mengandungi sulfur. Air panas semulajadi ini mengandungi karbon dioksida (CO2) dan mengeluarkan buih-buih yang mengandungi hidrogen sulfida (H2S). Berendam di dalam air panas ini sangat baik untuk kesihatan kerana ia boleh membantu mengubati penyakit kulit, penyakit sendi serta melancarkan aliran darah dalam badan.